Thursday 28 August 2014

Sains & Batik



Batik adalah teknik pewarnaan pada fabrik melalui proses 'rintang warna’ dengan menggunakan lilin dan damar sebagai perintang warnanya. Istilah 'rintang warna' bermaksud bahagian pada motif atau corak yang menghalang warna daripada diwarnai oleh pewarna. Bahagian tersebut akan kelihatan kekal putih setelah proses penghasilan batik siap sepenuhnya. Lihat gambar di bawah. Garisan-garisan putih merupakan bahagian yang telah di'rintang warna'.  
Motif Batik
'Rintang warna' lebih mudah dihuraikan sebagai bahagian yang terhalang daripada diwarnakan pada fabrik untuk menghasilkan batikApakah kaitannya pula dengan sains?

Corak pada tekstil dilukis bukan dengan pen atau pensil tetapi menggunakan sejenis alat yang menyerupai bentuk pen yang di panggil canting.  Ia terdiri dari bekas bermuncung seperti paip dan buluh sebagai pemegang. 

Campuran lilin (parafin) dan damar akan dipanaskan sebelum proses mencanting dilakukan. Setelah campuran ini cair, ia akan dicedok menggunakan canting. Bagi memastikan kelancaran campuran lilin dan damar keluar daripada muncung canting semasa proses mencanting, tembaga digunakan untuk membuat canting kerana tembaga merupakan konduktor haba yang baik. Ini amat penting bagi  memastikan campuran lilin dan damar sentiasa berada dalam keadaan cecair dan akan mengalir keluar dengan lancarnya semasa proses mencanting.


Mencanting pada lukisan batik bertujuan menutup bahagian motif atau corak daripada diwarnakan. Secara kimianya, lilin (parafin) adalah nama umum untuk hidrokarbon alkana dengan formula CnH2n+2. Ia berwarna putih, tidak berbau, tidak mempunyai rasa, pepejal, mempunyai takat lebur di antara 47 darjah Celcius sehingga 64 darjah Celcius dan tidak larut dalam air. Dalam keadaan suhu bilik, ia adalah rapuh dan mudah retak.

Damar yang selalu digunakan pula adalah getah yang diperolehi daripada pokok konifer. Damar sangat likat, mempunyai bau dan juga tidak larut dalam air.

Sifat kimia tidak larut dalam air yang dimiliki oleh lilin (parafin) dan damar menyebabkan kedua-dua bahan ini digunakan untuk memisahkan pewarna pada fabrik untuk menghasilkan batik. Sebelum proses pembuatan batik berakhir, fabrik akan dicelup di dalam sejenis larutan kimia untuk membuang lilin yang melekat. Hasilnya, bahagian yang ditutupi dengan lilin akan kelihatan bewarna putih.






Bengkel 'Mewarna Batik Canting' adalah salah satu aktiviti  sempena Petrosains Science Festival yang akan berlangsung  pada 15-21 September 2014. Layari www.sciencefestival.my untuk menyertainya! #petrosainsfest











Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains



No comments:

Post a Comment